LAPORAN HARIAN METRO.
LAPORAN HARIAN METRO.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lelaki yang membunuh ibu tirinya dengan menetak leher mangsa menggunakan parang hingga putus di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, semalam, sering meminta wang daripada bapa serta wanita itu.

Menceritakan perkara itu, Abdullah Abdul Rahim, 73, yang juga suami mangsa berkata, anak lelakinya berusia 39 tahun itu sering meminta wang RM10 atau RM20.

"Kalau ada duit, saya akan terus memberikannya hingga menyebabkan arwah isteri sering marah dan berleter.

"Dia minta wang sebab hendak beli benda itu (dadah), namun silap saya sebab selalu beri wang kepadanya.

"Mungkin kalau saya ada ketika kejadian, akan turut menjadi mangsa. Saya tidak tahu macam mana ia terjadi, namun jika dilihat keadaan rumah dia terlebih dahulu merosakkan langsir sebelum menetak leher isteri," katanya di sini, hari ini.

Abdullah yang juga penoreh getah berkata, dia tidak menyangka anak keenam daripada lapan beradik itu sanggup membunuh isterinya dalam keadaan yang menyayat hati.

Katanya, dia sudah menyorok beberapa parang miliknya di tempat yang selamat dan tidak tahu macam mana anaknya boleh menjumpai senjata itu.

"Ketika kejadian saya berada di Balai Polis Bertam untuk menguruskan seorang lagi anak lelaki berusia 17 tahun yang disaman pihak polis.

"Pada masa itu, saya lihat anak (suspek) masuk ke balai dan berbisik kepada polis yang bertugas bahawa dia sudah membunuh ibu tirinya sebelum mereka (polis) memaklumkan kepada saya.

"Tetapi masa itu tidak jelas lagi sama ada betul atau tidak kejadian berkenaan. Saya terus pulang ke rumah dan lihat keadaan isteri yang sudah terlentang dengan lehernya terkulai. Saya terkejut dan sedih dengan kejadian ini," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia melihat anaknya itu dalam keadaan khayal sejak beberapa hari lalu.

Katanya, anaknya itu seorang yang baik dan sudah dua kali menerima rawatan di hospital mental serta pernah ditahan polis atas kesalahan dadah.

Media semalam melaporkan, seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan leher terputus dipercayai ditetak oleh anak tirinya dengan menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang semalam.

Mayat mangsa berusia 54 tahun ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang oleh suspek yang berusia 39 tahun yang juga pesakit mental dan penagih dadah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, suspek sudah ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Februari.

Berita berkaitan:

  • Lelaki tetak leher ibu tiri berada di bawah pengaruh dadah
  • Wanita putus leher ditetak anak tiri
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 8:21 PM