BENGKEL tukar tayar Lau di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru terletak bersebelahan Masjid Al Ehsan.
BENGKEL tukar tayar Lau di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru terletak bersebelahan Masjid Al Ehsan.
Nurul Fhatihah Zakinan

Melaka: Memahami keperluan masyarakat Islam menunaikan solat Jumaat, pemilik bengkel perkhidmatan tukar tayar di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru di sini, menutup operasi setiap Jumaat bagi membolehkan umat Islam meletakkan kenderaan mereka pada hari berkenaan.

Pemilik bengkel, Lau Yoon Teck, 60, dari keturunan Hakka berkata, dia sedar tempat letak kereta di sekitar Masjid Al Ehsan yang berusia 100 tahun itu terhad.

Memandangkan bengkelnya bersebelahan masjid itu, dia memutuskan untuk menutup operasi bengkelnya setiap Jumaat dan Ahad bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada orang Islam ke masjid berkenaan.

“Pelanggan yang kerap ke masjid pernah suarakan masalah ini kepada saya, jadi saya rasa perlu berbuat sesuatu bagi memudahkan mereka menjalankan ibadat.

“Bukan saja pada hari Jumaat, saya juga akan membuka bengkel lewat sedikit pada Aidilfitri dan Aidiladha kerana waktu itu ramai orang ke masjid,” katanya, yang menjalankan perniagaan berkenaan sejak 1999.

Katanya, perbuatan yang dilakukan sejak 20 tahun lalu itu bagi menjaga keharmonian kaum, selain menghormati agama lain.

“Jika bengkel tidak dibuka pada Jumaat, mereka boleh letak kenderaan di sini.

“Mahu letak berapa lama pun tidak mengapa,” katanya.

imbalan Pengerusi Lembaga Masjid Al Ehsan Mohd Amin Abu Hasan mengucapkan terima kasih kepada pemilik bengkel berkenaan kerana memberi kerjasama yang baik dengan menutup bengkel pada Jumaat.

“Hari raya juga dia buka lewat. Ini bukan saja memudahkan jemaah menunaikan ibadat di masjid malah memberi keselesaan dan kami amat menghargai tindakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:37 AM