HAMPIR 40 jemaah mengadakan solat Jumaat secara percubaan di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, Kuantan. FOTOFarizul Hafiz Awang
HAMPIR 40 jemaah mengadakan solat Jumaat secara percubaan di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, Kuantan. FOTOFarizul Hafiz Awang
Asrol Awang


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan satu masjid di setiap daerah dibenarkan mengadakan solat Jumaat bermula 22 Mei ini.

Justeru, baginda bertitah, tiga masjid di Kuantan yang mengadakan solat Jumaat secara percubaan hari ini dijadikan panduan sebaik solat berkenaan diadakan di semua daerah.

"Saya menyeru pegawai masjid termasuk kadi daerah supaya melihat prosedur operasi standard (SOP) dilakukan hari ini untuk memastikan segala peraturan dan arahan dilaksanakan di daerah nanti diikuti demi keselamatan rakyat.

"Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita semua menunaikan solat Jumaat, hari ini.

"Saya pasti semua jemaah rindukan masjid untuk menunaikan solat berjemaah bersama-sama, bagaimanapun kita harus sama-sama faham musuh Covid-19 yang sedang kita hadapi sekarang ini tidak kelihatan.

"Langkah kerajaan menutup sementara solat berjemaah di masjid adalah satu keharusan dalam hukum agama," titahnya sempena solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, Kuantan, hari ini.

Hari ini, tiga masjid di Kuantan iaitu Masjid Negeri, Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengadakan solat Jumaat secara percubaan mengikut SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru kepada umat Islam di Pahang tidak lupa untuk membayar zakat fitrah.

"Saya difahamkan sehingga kini, baru 40 peratus kutipan berjaya dikutip.

"Saya bersetuju bagi memudahkan lagi proses pembayaran zakat fitrah, khidmat amil akan digerakkan semula.

"Bagaimanapun, ia mestilah mengikut prosedur dan SOP ditetapkan dan bagi yang mempunyai perbankan Internet, gunakan kemudahan berkenaan," titahnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 9:07 PM