Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Umat Islam sekitar ibu kota mula memenuhi Masjid Negara, seawal 12 tengah hari bagi menunaikan Solat Jumaat.

Solat Jumaat hari ini berbeza apabila 2,000 jemaah dibenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menunaikan solat itu.

Kakitangan Masjid Negara menggunakan sistem nombor yang diberikan kepada jemaah di pintu masuk bagi memudahkan pengiraan.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan dan memastikan jemaah membawa sejadah turut dipantau.

Tinjauan mendapati jemaah mematuhi SOP ditetapkan dan mengambil peluang datang awal ke masjid untuk memastikan mereka tidak terlepas menunaikan solat.

Jemaah juga menjarakkan kedudukan masing-masing di dewan solat seperti yang ditanda kakitangan masjid.

ANTARA jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. FOTO Hazreen Mohamad
ANTARA jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. FOTO Hazreen Mohamad

Sebelum Solat Jumaat, tazkirah ringkas selama 30 minit diberikan penceramah jemputan.

Khutbah Jumaat hari ini bertajuk 'Wilayah Lestari Hidup Berkualiti' disampaikan Imam Besar Majid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Selepas selesai Solat Jumaat, jemaah turut menunaikan solat hajat memohon Allah SWT memulihkan Malaysia daripada Covid-19.

Masjid di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan menunaikan solat Jumaat dengan separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bagi jemaah solat fardu lima waktu, jumlahnya diperluas kepada separuh daripada kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berita berkaitan:

  • Jawi benarkan pertambahan jemaah solat fardu di masjid
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 3:40 PM