Keadaan jerebu yang melanda Bandaraya Kuala Lumpur setakat jam 11 pagi bacaan indeks pencemaran udara IPU 78 mencatatkan paras bacaan sederhana. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Keadaan jerebu yang melanda Bandaraya Kuala Lumpur setakat jam 11 pagi bacaan indeks pencemaran udara IPU 78 mencatatkan paras bacaan sederhana. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nor Afzan Mohamad Yusof

BACAAN terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan beberapa kawasan berada dalam bacaan sederhana dengan Banting mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 106.

Jurucakap JAS berkata, Banting mencatatkan bacaan 106 iaitu berada pada tahap tidak sihat, manakala Putrajaya dan Nilai dalam kategori sederhana iaitu 94 dan 95.

Katanya jerebu kali ini berpunca daripada kebakaran yang dikesan berlaku di Sumatera Utara dan Kalimantan Barat.

“Memburukkan keadaan apabila angin monsun barat daya yang bertiup menghala Semenanjung menyebabkan keadaan itu dijangka berlarutan dalam tempoh sebulan ini, bagaimanapun bergantung pada arah tiupan angin dan taburan hujan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Menurut bacaan IPU hingga jam 4 petang tadi empat kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mencatat bacaan sederhana iaitu Klang (95), Putrajaya (94), Shah Alam (86), Petaling Jaya (85) dan Batu Muda (81).

Beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mencatat bacaan IPU sederhana dengan bacaan antara 55 hingga 74 bagaimanapun Nilai mencatatkan bacaan 95.

Tiga kawasan di Sarawak turut mencatat IPU sederhana iaitu Miri (79), Mukah (78) dan Sarikei (74).

Beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang bulan ini hingga September, berikutan cuaca panas.

JAS berkata, orang ramai tidak perlu panik sebaliknya mengambil langkah untuk menjaga kesihatan mereka antaranya mengurangkan aktiviti di luar rumah, melakukan pembakaran terbuka termasuklah merokok.

“Pastikan minum air yang mencukupi dan memakai penutup muka ketika keluar dari rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 10:09 PM