Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar ibu kota, Putrajaya dan tiga negeri yang sekolahnya ditutup semalam, menurun ke tahap sederhana berbanding tidak sihat sejak minggu lalu.

Sehingga 9 pagi ini, Batu Muda, Kuala Lumpur mencatat bacaan IPU 90, Cheras (89), Putrajaya (81), Banting (91), Kuala Selangor (74), Petaling Jaya (98), Pelabuhan Kelang (98), Bandaraya Melaka (92), Bukit Rambai (84), Nilai (78), Seremban (76) dan Port Dickson (74).

Hanya Shah Alam yang masih mencatat IPU tidak sihat iaitu 108.

Begitupun, Sarawak, Pahang, Terengganu dan Sabah mencatatkan peningkatan IPU mendadak sejak semalam.

Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, Sri Aman mencatat bacaan IPU 171, Sibu (132), Kapit (112), Bintulu (103), Sarikei (145), Samarahan (147), Kuching (146), Balok Baru Kuantan (129), Indera Mahkota (102), Jerantut (110), Kuala Terengganu (102), Paka (126), Kemaman (129) dan Tawau (125).

Untuk rujukan, IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, layari laman web apims.doe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 10:13 AM