Zuliaty Zulkiffli


RUMAH teres dua tingkat di Taman Restu, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar yang beroperasi sebagai pusat pengumpulan judi dalam talian sejak tiga bulan lalu diserbu anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Dalam serbuan 10.15 pagi itu, lapan individu berusia antara 16 hingga 23 tahun termasuk seorang ibu hamil yang diupah sindiket didapati sedang leka mengendalikan pertaruhan judi sebelum menyedari kehadiran polis.

Operasi diketuai Inspektor Faizul Azuan Haron membabitkan sepasukan 13 pegawai dan anggota itu mendapati lapan pekerja berada di dalam bilik menempatkan pelbagai peralatan komputer digunakan bagi memantau pertaruhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata, hasil siasatan mendapati, pekerja terbabit diupah dengan bayaran RM70 sehari untuk melakukan kegiatan itu mengikut syif selama 24 jam sehari.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan ejen yang menawarkan pembelian kepada pelanggan bagi mendapatkan kata laluan (ID) untuk membolehkan mereka meneruskan perjudian secara dalam talian itu.

“Ejen itu akan berjumpa kaki judi lalu memintanya membuat bayaran bagi membolehkannya mendapatkan ID dan ejen terbabit kemudian menghantar ID kepada pusat pengumpulan judi untuk menambah nilai mengikut jumlah bayaran dibuat kaki judi berkenaan.

“Biasanya kaki judi akan menggunakan telefon bimbit atau komputer riba kecil untuk membuat pertaruhan judi secara dalam talian dengan menggunakan Internet,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Difahamkan, sindiket terbabit mampu mengaut keuntungan mencecah RM10,000 sehari hanya daripada hasil penjualan ID pertaruhan berkenaan sahaja.

Mior berkata, semua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka akan direman esok.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik di rumah terbabit bagi Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk mengelakkan kegiatan sama berulang.

“Selain itu kami akan mengenal pasti siapa penganjur kegiatan ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanterasnya habis-habisan.

“Pada masa sama, kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini supaya menyalurkannya bagi memudahkan tindakan diambil,” katanya.

Turut dirampas dalam operasi terbabit empat set komputer dan 12 telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian dalam talian itu untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:40 PM
MIOR Farid Alatrash menyoal individu ditahan dalam serbuan Ops Judi Online di pusat pengumpulan judi dalam talian di Taman Restu, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar hari ini . FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MIOR Farid Alatrash menyoal individu ditahan dalam serbuan Ops Judi Online di pusat pengumpulan judi dalam talian di Taman Restu, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar hari ini . FOTO Zuliaty Zulkiffli.