Persaingan sengit antara kem Mohamed Azmin (kiri) dan Rafizi tidak dapat dibendung lagi.
Persaingan sengit antara kem Mohamed Azmin (kiri) dan Rafizi tidak dapat dibendung lagi.
Ahmad Suhael Adnan


“INI bukan pilihan raya presiden yang memerlukan pembabitan rakyat. Ini hanya dalam kalangan ahli PKR.” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menolak cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat menjelang pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Katanya, tiada kewajaran untuk berdebat memandangkan perebutan jawatan itu hanyalah membabitkan hal parti.

“Saya ucap terima kasih kepada saudara Rafizi atas tawaran debat itu, tetapi saya tidak nampak kewajarannya kerana ini adalah pemilihan dalam parti.

“Bagaimanapun, saya percaya kita boleh berbincang hal dalaman demi kebaikan parti kerana PKR perlu muncul lebih kuat selepas pemilihan kelak,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas cabaran Rafizi yang menyatakan kesediaan berdebat dengan Mohamed Azmin menjelang pemilihan PKR.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa pasukannya yang akan bertanding pada pemilihan PKR bulan ini termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; dan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Pemimpin PKR yang dikaitkan dengan ‘kem Mohamed Azmin’ ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Naib-naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Shamsul Iskandar Mohd Akin; selain Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman serta ADUN Kajang, Hee Loy Sian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 6:37 PM