NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Wartawan NSTP


NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu bulan depan.

Pengesahan itu dibuat bekas Ahli Parlimen Pandan itu kepada sebuah portal berita malam tadi, sekaligus bakal menyaksikan kemungkinan pertembungan antara beliau dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini menyandang jawatan berkenaan.

"Ya, saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR," katanya.

Sehingga kini, hanya Rafizi seorang yang mengesahkan akan merebut jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan keputusan rasmi mengenainya akan diumumkannya Ahad ini.

Laporan itu turut menyebut keputusan untuk bertanding itu disifatkan sebagai pertandingan antara ahli politik dengan reformis dalam PKR.

"Dalam PKR ada ramai seperti saya, yang tidak pernah berada dalam politik, tetapi terjaga selepas apa yang berlaku pada 1998 (gerakan reformasi).

"Persaingan idea antara apa yang digelar sebagai kumpulan reformis dengan mereka yang sudah menjadi ahli politik seumur hidup mereka akan sentiasa ada.

"Jadi saya fikir tidak pelik jika idea ini ditunjukkan di peringkat timbalan presiden," katanya.

Sementara itu, hasrat Rafizi berkenaan dialu-alukan oleh Mohamed Azmin seperti dinyatakan Setiausaha Politiknya, Hilman Idham yang beranggapan ia sebagai lambang kesuburan demokrasi dalam parti dengan sesiapa sahaja boleh bertanding untuk menyumbang kepada parti.

"Apa yang penting di sini adalah untuk mengamalkan politik sihat dan matang, politik yang tidak berunsur fitnah hanya demi jawatan.

"Jika ini dilakukan, saya pasti parti ini akan terus ke depan dalam kepimpinan dalam era Malaysia Baharu," katanya sebagaimana dilaporkan portal berkenaan.

Bagaimanapun ditanya sekiranya Mohamed Azmin akan mempertahankan jawatan itu, Hilman berkata, masih ada ruang dan masa untuk mempertimbangkan keputusan tersebut.

"Saya percaya Datuk Seri Azmin akan membuat keputusan dan mengumumkannya sebelum penamaan calon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 1:57 AM