Mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming

LELAKI yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Batu Bersusun di Balung River dekat Tawau, tengah hari, ditemui lemas, petang tadi.

Mayat Rony Alberto, 34, ditemui anggota pasukan penyelam bomba bersama penduduk kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada 5.06 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengahari.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, operasi dimulakan dengan membuat pencarian oleh empat anggota pasukan penyelam.

“Mayat mangsa ditemui tersangkut pada kayu di dalam dasar air pada kedalaman kira-kira lima meter,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sharudy berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.05 petang.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada menjalankan aktiviti di air berikutan keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 9:28 PM