MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


LELAKI dilaporkan hilang ketika menyeberang sungai di Gudang 4, Taman Bukit Tawau, Tawau, kelmarin, ditemui lemas, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, warga Indonesia, Rahman Basri, 27, dilaporkan cuba menyeberang sungai untuk pergi ke kedai yang terletak di seberang, namun dia dihanyutkan arus deras sebelum hilang.

Difahamkan, arus sungai terbabit menjadi deras berikutan fenomena kepala air.

Berikutan itu, penduduk menghubungi bomba pada jam 4.47 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar tebing sungai secara pemantauan di permukaan air sehingga lewat petang sebelum bersambung semula, pagi semalam.

Katanya, operasi pada hari kedua membabitkan tujuh pegawai dan anggota serta serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau.

"Pada jam 6.11 petang semalam, anggota PPDA menjumpai mayat mangsa kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 9:55 AM