ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas akibat banjir kilat di Tawau, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas akibat banjir kilat di Tawau, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Abdul Rahemang Taiming


HUJAN lebat hampir lima jam bermula jam 9 malam semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Tawau mengalami banjir kilat.

Kawasan rendah berhampiran sungai seperti Kampung Batu 2 Jalan Apas, Kampung Saddani, Kampung Rawa-Rawa di Batu 4 ditenggelami air setinggi paras pinggang akibat air sungai yang melimpah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Sharudy Delamin berkata, beberapa jalan utama dan jalan kampung turut dinaiki air.

“Hasil tinjauan dan pemantauan melalui rondaan pihak bomba bermula jam 10.47 malam (semalam) mendapati antara jalan utama yang terjejas ialah Jalan Utara, Jalan Kuhara, Jalan Tanjung Batu Laut dan Jalan Chong Thien Voon.

“Bagaimanapun, paras air di kesemua jalan berkenaan masih terkawal dan boleh dilalui kenderaan ringan dan berat,” katanya ketika dihubungi.

Sharudy berkata, beberapa kampung dan taman perumahan turut terjejas apabila dinaiki air antara 0.5 hingga satu meter, antaranya Kampung Pasir putih blok A dan C, Kampung Pukat, Kuari Tanjung Batu Laut,

Turut dinaiki air ialah Taman Maju Jaya, Taman Berkerly, Taman Leeka, Taman Green, Taman Villa, Taman Pasadena, Taman Mulia, Taman Da Hua 5 dan Taman Anggerik.

Bagaimanapun, katanya, setakat jam 3 pagi hari ini, paras air di beberapa kawasan mulai surut, manakala Kampung Batu 2 yang masih banjir terus dipantau oleh bomba.

“Setakat ini pihak kami belum menerima laporan membabitkan pemindahan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:43 AM