KEBAKARAN Kampung Masjid At-Taqwa dan mangsa menumpang rumah jiran. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
KEBAKARAN Kampung Masjid At-Taqwa dan mangsa menumpang rumah jiran. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas terkurung kira-kira 10 minit di dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Masjid At Taqwa, Jalan Pantai Tawau lama, Tawau, pagi tadi.

Mangsa, Farida Abdullah, 56, berkata, kebakaran 9.15 pagi itu turut membabitkan enam lagi kediaman lain.

Menceritakan kejadian itu Farida berkata, dia yang sedang tidur di dalam bilik terjaga akibat sesak nafas.

Katanya ketika itu dinding rumahnya berbahang, keadaan dalam bilik pula sangat gelap dan dipenuhi asap hitam.

Farida berkata, ketika sedang mencari jalan keluar dia hanya dapat melihat cahaya dari arah bilik air rumahnya.

“Saya cuba keluar menerusi pintu tetapi terbantut kerana sudah terbakar dari luar. Dalam situasi cemas itu saya sempat mencapai sebaldi air dari bilik air lalu menyiram pintu dan berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Syukur kerana tersedar daripada tidur dan sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan sebelum api meranapkan rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Yeni Kiraman, 45, berkata kebakaran itu menyebabkan dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, barangan kelengkapan rumah, dua motosikal milik anaknya dan kereta miliknya turut musnah dalam kebakaran.

Tinjauan NSTP, mendapati kebanyakan mangsa kini menumpang di rumah jiran sementara menunggu bantuan daripada pihak yang berkaitan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, tiga jentera bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 9.33 pagi.

“Empat dari tujuh kediaman musnah 100 peratus. Dua lagi masing-masing terbakar 90 peratus dan 70 peratus.

“Sebuah lagi rumah mengalami kerosakan sebanyak 10 peratus iaitu membabitkan dinding saja. Api berjaya dikawal pada 10.20 pagi dan operasi ditamatkan pada 12.10 tengah hari,” katanya.

Sharudy berkata, setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:00 PM