KETUA Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar. FOTO Mohd Sabran Md Sani
KETUA Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Ibrahim Isa dan Izlaily Nurul Ain Hussein


KANAK-kanak berusia dua tahun tiga bulan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai oleh ibunya dalam keadaan tidak bernafas dan terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinganya.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia sebelum kakitangan hospital menghubungi polis kerana mengesyaki dia didera.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kakitangan HTSMTI pada 9.30 malam yang menyatakan tentang kanak-kanak itu yang meninggal dunia kerana disyaki didera.

"Mangsa dihantar oleh ibunya ke hospital kira-kira 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinga mangsa selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kirinya.

"Terdapat juga kesan lebam lama di bahagian belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkongnya," katanya.

Beliau berkata, polis menahan ibu kanak-kanak itu bagi membantu siasatan.

Katanya, ibu kanak-kanak itu yang berusia 18 tahun dan berkerja sebagai juruwang di pasar raya ditahan kira-kira 8 malam di hospital berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 11:54 PM