EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis (tiga, kanan) bersama barisan tetamu dan juga pelajar Institut Tun Perak pada program Cerita Negaraku di Dewan PERZIM, Banda Hilir. Foto STR/NOOR AZURIN MOHD SHARIF
EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis (tiga, kanan) bersama barisan tetamu dan juga pelajar Institut Tun Perak pada program Cerita Negaraku di Dewan PERZIM, Banda Hilir. Foto STR/NOOR AZURIN MOHD SHARIF
Noor Azurin Mohd Sharif


INSTITUT Tun Perak (ITP) akan memulakan siri jelajah program kemerdekaan di beberapa lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini, bermula pertengahan bulan ini.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis berkata, program anjuran bersama Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu akan memulakan siri jelajah ke 40 lokasi pelancongan.

Katanya, antara 40 lokasi tumpuan itu ialah Victoria Fountain, Kota Stadhuys, Memorial Kemerdekaan, Menara Taming Sari, Perkampungan Hang Tuah, Muzium PERZIM dan laluan Sungai Melaka.

“Pelbagai aktiviti menarik berbentuk patriotisme seperti deklamasi sajak dan ceramah kemerdekaan akan diadakan sepanjang siri jelajah ini.

“Turut diadakan, program jualan buku sejarah pelbagai bahasa,” katanya selepas merasmikan program Cerita Negaraku di Dewan PERZIM, Bandar Hilir, Melaka, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Zaipul Anwar Zainu.

Penganjuran program oleh ITP yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Melaka (IKSEP) itu antara lain bertujuan memupuk rasa cinta kepada negara supaya kemerdekaan negara dapat diteruskan kesinambungannya untuk generasi akan datang.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani berkata, bermula minggu depan, negeri ini akan diwarnai dengan persembahan budaya di Victoria Fountain secara berkala pada 10 pagi, 2 petang, 6 petang, 8 malam dan 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 1:38 PM