Sulaiman Md Ali (tengah) menaiki Mendam Berahi pada Malam Ambang Hari Kebangsaan ke-63 di Sungai Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Sulaiman Md Ali (tengah) menaiki Mendam Berahi pada Malam Ambang Hari Kebangsaan ke-63 di Sungai Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


SAMBUTAN Ambang Hari Kebangsaan ke-63 peringkat Melaka, disambut secara sederhana, namun penuh simbolik, malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menaiki bot Melaka River Cruise Mendam Berahi menyusuri Sungai Melaka sejauh sembilan kilometer bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai Melaka.

Lokasi persinggahan pertama di Kampung Morten, tetamu disajikan dengan persembahan kebudayaan sebelum ke lokasi kedua di Muara Sungai Melaka bagi menyaksikan pertunjukan jet ski dari Persatuan Jetpro Water Sport.

Kemuncak acara, tetamu dihidangkan dengan pertunjukan bunga api tepat 12 tengah malam.

Acara dianjurkan bersama Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) serta Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda berkata, aktiviti Ambang Hari Kebangsaan itu bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di Melaka, khususnya sebagai tanda syukur dengan nikmat kemerdekaan serta memperingati peristiwa kemerdekaan negara, sekali gus menanamkan rasa cinta pada negara.

"Objektif program itu melahirkan generasi sayang dan cinta kepada negara serta menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya generasi muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 4:56 PM