Kota A'Famosa. FOTO ARKIB NSTP
Kota A'Famosa. FOTO ARKIB NSTP
Amir Mamat


Ayer Keroh: Melaka kekal untuk tidak membenarkan pelancong luar berkunjung ke negeri itu meskipun akan beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, langkah itu bagi memastikan segala bentuk program pelancongan dikemas kini selain perlu mengadaptasi sektor berkenaan dengan normal baharu bagi memastikan semua risiko ditangani dengan baik.

"Melaka beralih ke Fasa 3, sektor pelancongan sudah kembali dibuka tetapi hanya untuk rakyat Melaka bermula esok," katanya selepas menghadiri Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di Seri Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly.

Muhammad Jailani berkata, beberapa sektor pelancongan di Melaka boleh beroperasi semula dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat termasuklah Zoo Melaka, pusat pelancongan memancing, pusat hiburan pendidikan, taman rekreasi, premis hasil seni, muzium dan galeri serta taman tema dan pusat hiburan keluarga.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suasana sektor pelancongan di Melaka berbeza seperti di Pulau Langkawi, Genting Highlands serta Pulau Tioman kerana kawasan tumpuan di negeri ini sangat kecil berbanding lokasi pelancongan lain.

Justeru, katanya, pihaknya meminta supaya diberikan peluang melakukan persiapan rapi termasuk mengadaptasi secara berperingkat bersesuaian dengan situasi semasa.

"Saya tahu ramai pelancong sudah rindu untuk berkunjung ke Melaka dan sudah pasti Melaka tetap mengharapkan sokongan mereka untuk memajukan sektor pelancongan di sini.

"Cuma beri kami masa untuk melakukan sesuatu yang sudah pasti memberi kelegaan ketika pelancong berada di Melaka kelak," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa esok.

Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

Peralihan fasa itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 4:07 PM