GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


SELEPAS seminggu diburu, wanita warga emas yang dikenal pasti dalam satu video memaparkan tindakannya disyaki mendera seorang bayi lelaki akhirnya ditahan di Singapura, malam semalam.

Wanita berusia 65 tahun itu ditahan pada jam 8.15 malam oleh Interpol selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan agensi berkenaan menjejaki suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika ditahan, pihak polis turut merampas pasport antarabangsa milik wanita itu.

“Siasatan awal terhadap suspek, dia mengaku memukul bayi seperti yang tular di media sosial. Rakaman video berdurasi seminit 10 saat itu dirakam oleh rakan suspek ketika mereka berbual di rumah suspek,” katanya.

Katanya, suspek yang tidak bekerja ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Minggu lalu, seorang ibu berusia 31 tahun terkejut apabila mendapati video dera yang tular di media sosial membabitkan bayi lelakinya, sebelum bertindak membuat laporan polis.

Ibu berkenaan menonton satu klip video yang memaparkan seorang wanita memangku seorang bayi dan memberikan makanan, namun wanita dipercayai pengasuh bayi itu berkelakuan kasar.

Dua minggu sebelum menonton video berkenaan, ibu itu tidak lagi menghantar bayinya ke rumah pengasuh terbabit disebabkan reputasi buruknya.

Dalam klip video itu, seorang wanita memangku dan menyuap makanan kepada seorang bayi lelaki, bagaimanapun wanita terbabit seolah-olah menampar muka bayi berkenaan apabila makanan tertumpah ke tangannya.

Selain itu, wanita terbabit dilihat menepuk kaki bayi berkenaan sambil menyuap makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 5:10 PM