PENGASUH terbabit menghempas kaki bayi ke lantai. FOTO ihsan polis.
PENGASUH terbabit menghempas kaki bayi ke lantai. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


SEORANG wanita membuat laporan polis selepas melihat rakaman video bayi perempuan berusia enam bulan disyaki didera pengasuh di sebuah rumah di Tanjong Tokong Lama, Georgetown, Isnin lalu.

Wanita berusia 31 tahun yang juga pekerja di bank itu mendakwa menerima dua video daripada rakannya yang juga penduduk di kawasan kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, susulan laporan itu, polis memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan.

“Hasil keterangannya, wanita terbabit mendakwa dia tidak mengenali ibu bapa bayi berkenaan kerana rakaman video itu dihantar rakannya.

“Wanita itu memberitahu rakannya mengirim video berkenaan kerana tidak mahu dia menghantar anak ketiganya kepada pengasuh terbabit berikutan bimbang diperlakukan seperti bayi itu,” katanya.

Che Zaimani berkata, polis sudah menahan pengasuh berusia 34 tahun dan wanita itu mengaku dia adalah individu dalam rakaman video berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, suspek memberitahu dia memang agak kasar dengan mangsa, namun tidak mempunyai niat mahu mendera atau mencederakan bayi berkenaan.

“Suspek mendakwa dia tidak ingat bila kejadian itu berlaku.

“Polis turut mengambil keterangan daripada ibu bayi terbabit yang memberitahu anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan setiap kali diambil dari rumah pengasuh.

“Ibu bayi itu mengatakan anaknya dalam keadaan sihat dan tiada kesan lebam ditemui di badannya,” katanya.

Beliau berkata, bayi itu dihantar untuk pemeriksaan di hospital, namun doktor mendapati tiada kesan akibat didera atau dipukul.

Katanya, bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001.

Dua rakaman video berdurasi empat dan tujuh saat itu menunjukkan suspek menggoncang kaki, menampar kepala dan menghentak bayi terbabit di atas lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:13 PM