GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pengasuh Taska swasta yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengasari dua bayi di Mutiara Rini, Skudai dekat sini, akan didakwa esok.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek wanita berusia 21 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, esok bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Hasil siasatan mendapati, video rakaman dibuat oleh seorang guru Taska yang merakam kejadian melalui telefon bimbit miliknya.

"Video menunjukkan, suspek disyaki mengasari kedua-dua kanak-kanak yang berada di bawah penjagaannya.

"Hasil siasatan, suspek akan dituduh di mahkamah pada esok," katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Isnin lalu, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari bayi dipercayai di sebuah Taska swasta.

Pengasuh Taska swasta itu kemudian direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:38 PM