ANTARA haiwan yang dirampas. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
ANTARA haiwan yang dirampas. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Poliana Ronnie Sidom


JABATAN Hidupan Liar Sabah merampas beberapa haiwan dilindungi daripada dua lelaki tempatan menerusi sekatan jalan raya di Jalan Paitan, dekat Beluran, pagi semalam.

Rampasan itu membabitkan beberapa bahagian badan babi hutan, seekor pelanduk, dua ekor musang dan seekor ular sawa yang disimpan dalam kotak penyejuk.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussien Muin berkata, pacuan empat roda dinaiki kedua-dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan dalam sekatan pada jam 6.54 pagi.

Katanya, sekatan jalan raya itu dilakukan tiga kakitangan Jabatan Hidupan Liar diketuai Pembantu Hidupan Liar, Mohd Aznandy Md Yakub.

“Sekatan dilaksanakan hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan itu.

“Kita sudah membuat laporan polis mengenai rampasan di Balai Polis Beluran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussien berkata, rampasan dilakukan kerana memiliki hasil haiwan tanpa permit yang dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 8:20 AM