Oleh Mohd Hasbi Sidek


Shah Alam

Dua beradik dikesan menggunakan laman sosial untuk menjual haiwan eksotik antara RM200 hingga mencecah RM10,000 seekor bergantung kepada jenis haiwan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Kegiatan haram itu dijalankan secara kecil-kecilan dan hanya menyasarkan peminat haiwan eksotik mahu pun pengusaha restoran makanan kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.

Antara haiwan yang dijual adalah seekor musang pada harga RM200, jampok kubur (RM600), landak (RM1,000), kucing batu, kubong (RM2,000) dan beruang matahari (RM10,000).

Namun, hasil pemantauan dan penyamaran, dua beradik berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor di Plaza Tol Ayer Hitam, Lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE), berdekatan Dengkil, pada jam 2.30 pagi, Jumaat lalu.

Pengarah PERHILITAN Selangor Rahim Ahmad berkata, ketika ditahan, pihaknya menemui seekor beruang matahari, empat ekor jampok kubur iaitu sejenis spesies burung hantu dan seekor musang pandan.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya menjalankan serbuan ke sebuah rumah di Bandar Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan pada jam 2.30 petang hari yang sama dan menemui 24 lagi haiwan liar yang dilindungi.

Katanya, haiwan yang ditemui ialah seekor beruang matahari dan seekor musang pandan, jampok kubur (20) dan dua kubong dan landak

"Beruang matahari, kucing batu, jampok batu dan kubong dikategorikan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya manakala musang pandan dan landak raya adalah hidupan liar yang dilindungi. Kami mengesyaki mereka menjual haiwan ini kepada pihak tertentu.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000 berdasarkan harga jualan yang ditawarkan di pasaran mengikut kepada keterangan suspek," katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

"Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menjalankan kegiatan jual beli atau pemilikan haram hidupan liar.

"Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut dan saya ingin mengingatkan orang ramai agar bekerjasama dengan pihak berkuasa mencegah aktiviti haram dari terus berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:11 AM