POSTER dan bendera parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil N49 Dun Sungai Kandis menghiasi sepanjang Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas. Foto NSTP/ROSLIN MAT TAHIR
POSTER dan bendera parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil N49 Dun Sungai Kandis menghiasi sepanjang Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas. Foto NSTP/ROSLIN MAT TAHIR
Rafidah Mat Ruzki


SELEPAS dua minggu, akhirnya tiba pecutan terakhir sebelum tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis tamat jam 11.59 malam ini.

Banyak yang dialami sepanjang dua minggu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam menyantuni penduduk di Sungai Kandis bagi meraih undi.

Kempen antara dua veteran reformasi, asalnya bermula dengan baik, masing-masing membawa isu tersendiri, Mohd Zawawi sebagai orang tempatan, memperjuangkan nasib dan kehendak penduduk kawasannya.

Lokman, biarpun pernah suatu hari dahulu menjadikan Jalan Kebun sebagai pangkalannya pada zaman reformasi bersama-sama Ketua Angkatan Muda Keadilan yang pertama, Datuk Ezam Mohd Nor, lebih selesa membawa isu bersifat nasional.

Namun, tidak perlu menunggu lama apabila kempen PRK Sungai Kandis mulai dicemari bahan kempen berbentuk serangan keperibadian calon lawan.

Ia termasuk penyebaran klip video tarian gelek dalam satu majlis anjuran syarikat persendirian dijadikan bahan kempen yang mengaitkan Mohd Zawawi.

Sudah tentu dakwaan itu mencemarkan nama baik Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu, apatah lagi beliau yang berpendidikan dari Universiti Al Azhar, Mesir itu juga antara pengasas sebuah rumah perlindungan wanita di Jalan Kebun.

Tidak cukup klip video tarian gelek, klip video yang dikatakan memaparkan individu didakwa Mohd Zawawi sedang menari pula tersebar menyebabkan calon PKR itu tampil membuat penafian dan laporan polis.

Kempen Lokman pula lebih banyak menyentuh hal berkaitan janji pilihan raya Pakatan Harapan, kedudukan suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan isu dasar negara serta negeri yang jarang menarik minat pengundi di kawasan luar bandar seperti Jalan Kebun dan Johan Setia.

Pada masa sama, kedua-dua calon juga seolah-olah berebutkan undi dan simpati dari ahli serta penyokong PAS yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyumbang lebih 7,000 undi kepada parti Islam itu.

Lokman kelihatan seperti mendapat kelebihan selepas beberapa pemimpin PAS pusat menyatakan pendirian supaya ahli dan penyokong parti itu memilihnya berbanding calon PH biarpun sejak berdekad lamanya kedua-dua parti UMNO dan PAS bermusuhan.

Namun, kedudukan Mohd Zawawi yang juga mesra disapa sebagai Ustaz Zawawi di kawasan tempat kelahirannya tidak boleh dipandang remeh kerana sudah tentu beliau lebih disenangi dalam kalangan pengundi PAS dengan perwatakannya yang lebih sopan dan lembut berbanding tingkah Lokman yang lebih ‘keras’.

Minggu terakhir kempen juga menyaksikan kedua-dua kem dibantu nama-nama besar dalam parti masing-masing.

Selepas kempen yang bermula sejuk menjadi suam kemudian sejuk kembali minggu lalu, minggu ini menyaksikan aksi tokoh seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun padang berkempen bagi Lokman.

BN jelas menyasarkan untuk mengurangkan majoriti undi yang akan diperoleh Mohd Zawawi esok kalau tidak menang dalam pertembungan tiga penjuru itu.

Lantas, nada kempen dari pemimpin besar UMNO jelas mengkritik hebat dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan PH yang belum pun sampai 100 hari itu. Isu daripada kasut hitam hingga penstrukturan semula industri air di Selangor, meniti bibir pemimpin UMNO selain bermain dengan sentimen lebih 70 peratus pengundi Melayu di kawasan itu apabila membawa isu kedaulatan Raja Melayu dan masa depan agama Islam kepada khalayaknya.

Kem satu lagi juga tidak kurang dengan barisan pemimpin hebat yang kini sudah menjadi pembesar negara, yang giat berkempen biar pun sibuk dengan persidangan di Parlimen dan tugasan dalam kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:23 AM