NAJIB (tengah) mencuba ice milo kepal yang disediakan oleh pemilik kedai Ahmad Rafiq Sulaiman di Kampung Sungai Kandis ketika turun membantu berkempen untuk Lokman bagi Pilihanraya Kecil N49 Dun Sungai Kandis. -Foto ROSLIN MAT TAHIR
NAJIB (tengah) mencuba ice milo kepal yang disediakan oleh pemilik kedai Ahmad Rafiq Sulaiman di Kampung Sungai Kandis ketika turun membantu berkempen untuk Lokman bagi Pilihanraya Kecil N49 Dun Sungai Kandis. -Foto ROSLIN MAT TAHIR
Mohd Iskandar Ibrahim dan Tharanya Arumugam


BARISAN Nasional (BN) tidak memerlukan peruntukan yang besar untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata BN sebaliknya menggunakan pendekatan mesra rakyat dan berkempen secara sederhana.

“Kita tidak memerlukan wang yang banyak kerana kempen kali ini, kita menggunakan wang yang minimum, sederhana tetapi lebih mesra rakyat dan menyentuh hati rakyat.

“Kita tidak menganjurkan perjumpaan besar-besaran dengan jamuan, khemah dan sebagainya tetapi lebih mesra rakyat,” katanya ketika ditemui selepas turun berkempen membantu calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, di Shah Alam, hari ini.

Ditanya mengenai ketiadaan jentera MCA dan MIC dalam membantu calon BN di PRK Sungai Kandis, Najib berkata, dua parti komponen itu perlu diberi ruang dan masa menstrukturkan kembali parti masing-masing bagi memulihkan semangat dan kepemimpinan mereka.

“Kita faham mereka melalui satu keadaan yang mana mereka cuma menang satu kerusi Parlimen bagi MCA dan MIC dengan dua kerusi Parlimen.

“Jadi, dalam keadaan sedemikian mereka terpaksa melihat kepada proses muhasabah diri, apa kelemahan mereka dan memulihkan semula semangat serta kepemimpinan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, walaupun UMNO dilihat berseorangan berdepan PRK Sungai Kandis, ada antara pemimpin MIC yang turun padang membantu berkempen untuk calon BN.

“Kita bagi tempoh untuk mereka namun ada juga pemimpin MIC datang membantu kempen kita,” katanya.

Terdahulu, Najib bersama Lokman melawat 10 kediaman penduduk di Kampung Sungai Kandis di sini sempena program Kunjungan Kasih.

Najib turut melawat bilik gerakan calon BN selain diberi kejutan dengan kek sempena sambutan hari jadinya Isnin lalu.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Lokman akan ditentang oleh calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:32 PM