Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melupuskan ganja seberat 864 kilogram bernilai RM2.5 juta di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Port Dickson, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pelupusan itu hasil dua rampasan yang dilakukan pada Mei 2010 dan Jun tahun lalu.

Katanya, rampasan pertama dilakukan pada 24 Mei 2010 di kawasan 3.7 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis oleh enam anggota penguat kuasa yang mengesan plastik hitam dibuang penyeludup di perairan berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati ia mengandungi 235 ketulan mampat daun kering iaitu ganja seberat 235 kilogram bernilai RM705,000," katanya pada sidang media selepas menyaksikan kerja pembakaran dadah itu, hari ini.

Zulkifli berkata, rampasan kedua berlaku pada 3 Jun tahun lalu di perairan Pulau Cupu, Langkawi, Kedah apabila bot petir dinaiki empat anggota penguat kuasa mengesan plastik hitam terapung di perairan itu.

"Pemeriksaan lanjut menemui 629 ketulan mampat ganja seberat 629 kilogram bernilai RM1.8 juta. Semua bahan terlarang itu dipercayai dibuang penyeludup ke laut selepas menyedari kehadiran bot penguat kuasa.

Menurut Zulkifli, pelupusan dadah itu melalui kaedah selamat dan terkawal apabila kerja pembakaran menggunakan inkubator yang dikendalikan Kualiti Alam Sdn Bhd.

ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 864 kilogram ganja bernilai RM2.5 juta yang dilupuskan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. Turut bersama, Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro, Khalid Bahsoon (kanan). Foto STR/ADZLAN SIDEK
ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 864 kilogram ganja bernilai RM2.5 juta yang dilupuskan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. Turut bersama, Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro, Khalid Bahsoon (kanan). Foto STR/ADZLAN SIDEK

"Ini kali kedua pihak kami menggunakan kaedah sama dan sebelum ini pembakaran biasa kerana membabitkan kuantiti kecil. Pelupusan dadah dalam jumlah yang besar perlu dilakukan secara terkawal kerana boleh menjejaskan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar," katanya.

Katanya, sejak 2008 hingga tahun lalu, APMM merampas 1.12 tan dadah bernilai RM3.36 juta di seluruh negara sebelum menahan 10 individu membabitkan warga Indonesia, Thailand dan warga tempatan.

Menurutnya, APMM turut komited mengendalikan kes berprofil tinggi bermula daripada tangkapan, siasatan, perbicaraan sehingga pelupusan barang rampasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:25 PM