Aizat Sharif


Kangar: Tindakan dua lelaki mencampakkan bungkusan plastik ke perairan Kuala Perlis tatkala dikejar peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membawa kepada penemuan 30 kilogram (kg) ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM150,000, semalam.

Dalam kejadian 1.42 pagi, bot peronda APMM Zon Maritim Kuala Perlis mengesan bot fiber tanpa nombor pendaftaran, 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis dipercayai dari arah Thailand.

Pengarah APMM Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dan diarah memberhentikan bot, suspek mencampakkan bungkusan plastik hitam ke laut sebelum memecut meninggalkan perairan Kuala Perlis.

"Anggota kita cuba mengejar suspek sejauh tiga kilometer namun keadaan perairan sempadan Malaysia-Thailand yang hanya dipisahkan sekitar dua kilometer dari perairan Kuala Perlis menyebabkan kedua-dua suspek itu berjaya meloloskan diri bersama bot mereka ke perairan Thailand," katanya di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam itu kemudian menemui guni merah di dalamnya yang mengandungi 30 ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 30 kilogram.

"Bekalan ganja ini dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu dan ia diikat dalam bentuk segi empat serta dibalut kemas dengan plastik putih dan dipercayai cuba diseludup ke negara ini melalui jalan laut dimana sindiket yang menggunakan 'transporter' untuk membawa masuk ganja berkenaan.

"Malah, kita tidak menolak kemungkinan bahawa ganja itu diseludup menerusi proses 'barter trade' atau pertukaran secara 'barter' dengan daun ketum yang dibawa dari negara ini ke negara Thailand," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan ganja berkenaan dipercayai adalah untuk pasaran di negeri bahagian Utara negara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Hasil siasatan mendapati, modus operandi yang dilakukan oleh sindiket pengedaran dadah ini adalah mereka akan bergerak menggunakan bot fiber dengan enjin bergalah berkuasa tinggi atau diapnggil 'enjin ekor biawak' oleh masyarakat setempat bagi memudahkan mereka memasuki kawasan cetek dan melarikan diri sekiranya dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Rampasan dibawa ke pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 12:50 PM