Hamzah Osman

TIGA lelaki dipercayai anggota sindiket pengedar dadah antarabangsa membuang 629 ketul ganja mampat bernilai hampir RM1.8 juta ke dalam laut selepas terkejut dengan kehadiran sekumpulan pemancing tempatan di perairan Pulau Cupu, Langkawi, dekat sini, semalam.

Sepasukan anggota Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang melaksanakan Ops Satria menemui semula dadah terbabit yang terapung kira-kira 6.5 batu nautika di Barat Daya Pulau Cepu, di sini.

Ketua Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar, berkata ketulan ganja mampat seberat 629 kilogram yang diikat berbentuk kotak dan dibalut kemas dengan plastik hitam itu ditemui terapung kira-kira jam 9.20 pagi.

“Terdahulu, tiga penjenayah yang menaiki bot nelayan kelas B tanpa nombor pendaftaran dilaporkan mencampak bungkusan plastik hitam ke dalam laut selepas terserempak dengan sekumpulan pemancing.

"Berdasarkan maklumat awam itu, sepasukan anggota APMM menaiki bot Petir 81 dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan menemui bungkusan mengandungi ketulan mampat daun kering yang disyaki ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini

Katanya, rampasan ganja itu adalah yang terbesar bagi APMM Wilayah Utara sejak dua tahun lalu dan dipercayai cuba diseludup dari negara jiran untuk untuk pasaran di negara ini.

“Bagaimanapun, motif penjenayah mencampak bungkusan ganja ke laut masih disiasat dan tiada tangkapan dibuat kerana penjenayah sudah melarikan diri sebelum ketibaan anggota APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 2:59 PM
Ketulan ganja mampat seberat 629 kilogram diikat berbentuk kotak dibalut plastik hitam ditemui terapung kira-kira jam 9.20 pagi, hari ini. -  Foto HAMZAH OSMAN
Ketulan ganja mampat seberat 629 kilogram diikat berbentuk kotak dibalut plastik hitam ditemui terapung kira-kira jam 9.20 pagi, hari ini. - Foto HAMZAH OSMAN
Ketua Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian 629 ketul ganja yang ditemui terapung berhampiran Pulau Cupu, Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN