PENGGEMAR durian memilih buah pada karnival jualan durian di Indera Mahkota Jaya. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENGGEMAR durian memilih buah pada karnival jualan durian di Indera Mahkota Jaya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TIGA tan pelbagai jenis durian habis dijual dalam masa tidak sampai setengah jam pada karnival jualan durian di padang permainan Indera Mahkota Jaya, Kuantan.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Indera Mahkota Jaya turut menjual pelbagai buah tempatan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Timbalan Pengarah FAMA Pahang, Sahbudin Md Noor berkata, pihaknya tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan ke atas penganjuran karnival raja buah yang julung kali diadakan itu begitu hingga menyebabkan

bekalan tidak mencakupi.

Beliau berkata, semua jenis durian klon seperti 168 (IOI), D 24 dan beberapa jenis lain yang dibawa terus dari Kampung Damak, Jerantut dijual dengan harga RM9 sekilogram.

Durian Musang King, katanya, dijual dengan harga serendah RM30 sekilogram berbanding RM50 hingga RM70 sekilogram sebelum ini, selain buah segar dan berkualiti menjadi tarikan masyarakat setempat membelinya.

"Sambutan karnival jualan durian yang kali pertama diadakan begitu menggalakkan dan di luar jangkaan apabila dalam masa setengah jam tiga tan durian habis dijual.

"Ramai pengunjung yang datang kecewa kerana tidak berpeluang membawa pulang raja buah

apabila buah habis," katanya ketika ditemui di Kuantan, semalam.

Shabudin berkata, bekalan durian yang tidak mencukupi antara faktor FAMA tidak dapat

mengadakan karnival jualan durian pada skala besar di beberapa daerah seperti yang pernah

diadakan sebelum ini.

Ini kerana, katanya, pengeluaran buah durian di negeri ini tidak sekata menyebabkan

bekalan tidak mencukupi, sebagai contoh hanya Bentong, Pekan, Lipis dan Jerantut kini

mengeluarkan hasil.

Katanya, Raub yang terkenal sebagai pengeluar utama durian masih belum mencapai

kemuncak.

Buah belum gugur sepenuhnya di beberapa kawasan seperti Ulu Dong dan dijangka akan bermula beberapa minggu lagi.

"Kebanyakan peniaga kini mendapatkan bekalan durian dari Johor yang kini mencapai kemuncak pengeluaran hingga menyebabkan harganya jatuh. Saya difahamkan harga ladang antara RM2 hingga RM3 sekilogram.

"Saya melihat peniaga di negeri ini menjual pada harga yang agak rendah antara RM4 hingga RM9 sekilogram bagi durian klon dan kampung. Selepas ini harga mungkin turun sekiranya pengeluaran buah bertambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 10:30 AM