ANGGOTA AKSEM memeriksa kotak berisi makanan yang dirampas.
ANGGOTA AKSEM memeriksa kotak berisi makanan yang dirampas.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Tindakan enam lelaki cuba menyeludup keluar makanan tidak lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM229,349 ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali, berkata kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 39 tahun itu ditahan dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 24 arah Ulu Pauh-Padang Besar, jam 2.20 petang, Isnin lalu.

Beliau berkata, mereka dikesan cuba menyeludup lebih 900 kotak berisi pelbagai produk pemakanan termasuk berasaskan herba dari negara Timur Tengah yang disembunyikan di bahagian belakang lori.

“Enam lelaki itu termasuk pemandu dan kelindan lori berkenaan berasal dari negeri Pantai Timur dan Perak dilihat dalam keadaan mencurigakan dan gugup ketika pihak AKSEM bertanya mengenai muatan dalam lori lalu.

“Kami kemudian meminta mereka menghentikan kenderaan. Hasil pemeriksaan terperinci di bahagian belakang lori menemui 910 kotak berisi pelbagai produk pemakanan dari negara Timur Tengah yang meragukan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Syed Basri berkata, pihaknya kemudian merujuk kepada penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri dan mendapati barangan terbabit menyalahi Akta Makanan 1983.

“Kemungkinan semua produk terbabit ingin dijual di sekitar negeri ini selain ke negara jiran berikutan permintaan ke atas produk berasaskan herba dari Timur Tengah begitu menggalakkan.

“Semua barangan terbabit dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Makanan 1983 atas kesalahan pelabelan yang tidak menepati standard makanan,” katanya.

Beliau berkata, kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:20 AM