PELBAGAI jenis produk makanan dan minuman dirampas kerana tiada dokumen sah di Padang Besar, semalam. FOTO Ihsan AKSEM Perlis
PELBAGAI jenis produk makanan dan minuman dirampas kerana tiada dokumen sah di Padang Besar, semalam. FOTO Ihsan AKSEM Perlis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PADAH menimpa dua lelaki apabila ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Padang Besar selepas gagal mengemukakan dokumen kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membawa makanan dari negara jiran ke negara ini, semalam.

Komander AKSEM Perlis Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian jam 9 pagi, dua lelaki berusia 44 dan 27 tahun ditahan selepas membawa pelbagai jenis makanan tanpa mendapat kebenaran KKM.

“Kita terpaksa menahan lori yang membawa pelbagai jenis makanan selepas mendapati pemandu dan muatannya dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kita menemui pelbagai jenis produk makanan dan minuman import dibawa dari negara jiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Basri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati produk makanan dan minuman berjenama luar negara itu dibawa tanpa dokumen kelulusan.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen yang sah mengenai kesemua produk terbabit selepas diminta menyebabkan kita terpaksa merampas kesemua produk berkenaan.

“Sebanyak 347 kotak, 104 botol serta tin dan 10 guni berisi pelbagai jenis produk makanan dianggarkan bernilai RM47,238 dirampas,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983 (Perlabelan) dan kes diserahkan kepada KKM Perlis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 4:59 PM