GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


DUA wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, hari ini, atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, pada April lalu.

Tertuduh masing-masing berusia 32 dan 22 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, jam 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan dua wanita dipercayai pasangan lesbian dicekup di dalam kereta di Dungun sebelum kedua-duanya mengaku memilih melakukan hubungan kelamin sejenis kerana merasa lebih selamat berbanding melakukan hubungan dengan lelaki.

Dalam serbuan 1.50 tengah hari itu, pasangan itu turut mengaku sudah kerap 'terlanjur'.

Malah, penguat kuasa turut menemui satu alat kelamin lelaki tiruan yang disorokkan di bawah kerusi pemandu dipercayai untuk memuaskan nafsu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 7:13 PM