LELAKI yang cuba membunuh diri menikam lehernya dengan pisau dalam majlis kenduri kahwin di Jalan Batu 7, Inanam, Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI yang cuba membunuh diri menikam lehernya dengan pisau dalam majlis kenduri kahwin di Jalan Batu 7, Inanam, Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana


KEMERIAHAN majlis kenduri kahwin bertukar 'kecoh' apabila seorang tetamu lelaki yang hadir cuba membunuh diri dengan menikam lehernya menggunakan pisau dalam kejadian di Jalan Batu 7, Inanam, Kota Kinabalu, semalam.

Lelaki berusia 30-an ditemui oleh beberapa tetamu di tingkat atas rumah pengantin dalam keadaan berlumuran darah dan kesan luka di leher pada jam 12.45 tengah hari.

Berikutan itu, tetamu yang hadir segera menghubungi pihak polis sebelum mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di sebuah ladang di Keningau dan datang ke Inanam untuk menghadiri kenduri kahwin anak perempuan rakannya.

“Ketika kejadian, beberapa tetamu yang hadir mendakwa melihat lelaki itu berkelakuan pelik dengan bertanya kepada seorang tetamu jika ada pisau, namun dia menganggap tiada apa yang berlaku.

“Hasil siasatan lanjut, lelaki itu mendakwa berasa tertekan dengan kehidupannya kerana ditinggalkan isteri hampir setahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, siasatan juga mendapati lelaki terbabit dipercayai secara sendiri cuba mencucuk leher dengan pisau miliknya sendiri tanpa dilihat oleh sesiapa.

“Akibat tindakan itu, dia luka di leher. Dia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HQE 2.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 5:18 PM