Junaidi Ladjana


PELANCONG warga Korea ditemui lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarga di Padang Point, Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu, pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 11.54 pagi itu, mangsa Mija Lee, 74, ditemui terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengawal pantai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pengawal pantai itu kemudian bergegas mendapatkan mangsa lalu membuat pertolongan pernafasan (CPR) sehingga pihak ambulans tiba.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) dan doktor bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa bagi mengetahui punca kematian," katanya, hari ini.

Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga keluarganya tiba di bandar raya itu Jumaat lalu.

"Pada jam 10.45 pagi hari ini, mangsa bersama tiga keluarganya menaiki bot dari Jeti Sutera Habour menuju ke Padang Point Pulau Gaya, untuk melakukan aktiviti snorkeling.

"Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 10:58 PM