SEBAHAGIAN daripada 30  individu termasuk tiga wanita yang ditahan dalam Ops Perdana 2/2018 selepas positif dadah jenis syabu di sekitar Kangar. FOTO ihsan AADK.
SEBAHAGIAN daripada 30 individu termasuk tiga wanita yang ditahan dalam Ops Perdana 2/2018 selepas positif dadah jenis syabu di sekitar Kangar. FOTO ihsan AADK.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUAMI isteri antara 30 orang ditahan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam Ops Perdana semalam, selepas mereka positif dadah jenis syabu.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad, berkata suami isteri berusia 30-an itu ditahan di rumah mereka di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kangar.

“Suami isteri itu ditahan bersama seorang lagi rakan perempuan mereka berusia 21 tahun sekitar 3 pagi.

“Ketika ditahan turut bersama dengan mereka ialah anak pasangan terbabit berusia bawah 10 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati rumah itu dijadikan sebagai sarang penagihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di Kangar, hari ini.

Beliau berkata, suami wanita terbabit pernah menjalani hukuman di Pusat Serenti Bukit Chabang, Perlis manakala isteri pula adalah Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK Perlis.

Menurutnya, mereka mengaku mengambil dadah kerana tertekan dengan dugaan dan masalah rumah tangga disamping membesarkan anak.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 dan akan ditahan reman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat sementara menunggu siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya mensasarkan beberapa kawasan panas antaranya di Panggas, Chemumar, Padang Keria, Repoh, Bukit Keteri, Kurung Batang, Sungai Baru dan Simpang Empat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 6:31 PM