REMAJA yang ditahan (baju putih). FOTO Aizat Sharif
REMAJA yang ditahan (baju putih). FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara lima orang penagih dadah yang ditahan dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis di sekitar kawasan Kangar, awal pagi ini.

Ketua AADK Daerah Perlis Selatan, Norhiza Lah berkata, remaja perempuan itu didapati positif dadah jenis syabu ketika ditahan dalam operasi 'Ops Aduan Khas' yang bermula pada 12 tengah malam itu.

"Remaja itu didapati menagih dadah bersama empat lagi lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun di parkir kereta di sebuah pangsapuri di kawasan Sena, Kangar," katanya kepada pemberita di Pejabat AADK Daerah Perlis Selatan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, mereka cuba bertindak agresif keatas anggota penguatkuasa AADK ketika ditahan, namun berjaya ditenangkan dan dibawa ke Pejabat AADK Perlis di Kangar untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ini dilakukan berdasarkan aduan penduduk di kawasan itu yang mendakwa gejala penagihan dadah membabitkan golongan remaja di kawasan pangsapuri itu semakin berleluasa," katanya lagi.

Beliau menambah dalam operasi berasingan yang dilakukan pada 10 Mac lalu, seramai 17 individu termasuk sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 20an hingga 40an ditahan selepas didapati positif dadah syabu.

"Mereka ditahan dalam operasi yang dilakukan serentak di kawasan Simpang Empat, Kuala Perlis dan Beseri yang dikenalpasti menjadi sarang utama aktiviti penagihan dadah di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 12:07 PM