Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam operasi berkenaan. FOTO Aizat Sharif
Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam operasi berkenaan. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Empat lelaki termasuk seorang remaja dibawah umur didapati positif dadah dalam operasi pencegahan penyalahgunaan dadah yang dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis di sekitar daerah Kangar awal pagi tadi.

Dalam operasi yang berlangsung selama enam jam setengah bermula pada 11 malam semalam itu, 13 orang penguatkuasa AADK Negeri Perlis menyasarkan beberapa kawasan seperti di Jalan Raja Syed Alwi, Taman Masmuda di Jalan Kurong Batang, Bintong, Wang Ulu serta Repoh.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) AADK Perlis, Chairi Ershad Arsyad yang mengetuai operasi berkata, dalam lebih daripada 20 orang terdiri daripada remaja bermotosikal diperiksa secara rambang menerusi saringan ujian air kencing yang di lakukan di kawasan operasi.

"Daripada jumlah itu, kita berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang remaja yang masih bersekolah dalam tingkatan empat di sebuah sekolah pondok di Kedah dan mereka yang ditahan ini adalah berusia antara 16 hingga 32 tahun," katanya kepada Harian Metro selepas operasi berkenaan.

Kesemua yang ditahan didapati positif methamphetamine.

"Mereka akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan akan dihantar ke beberapa kemudahan AADK untuk tujuan pemulihan," katanya lagi.

Operasi yang dijalankan itu adalah salah satu pelan strategik 'Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan' yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 12:59 PM