WANITA (kiri) mendukung anaknya ditahan selepas positif syabu dalam Op Cegah AADK Perlis, semalam. FOTO Ihsan AADK
WANITA (kiri) mendukung anaknya ditahan selepas positif syabu dalam Op Cegah AADK Perlis, semalam. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUAMI isteri dikesan selamba menghisap syabu di hadapan tiga anak yang masih kecil di rumah mereka di Kampung Permatang Keriang, Arau, semalam.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Azizah Ahmad berkata, pasangan berusia 32 dan 25 tahun itu ditahan jam 11 malam bersama empat penagih lelaki lain dalam Op Cegah AADK Perlis.

“Pasangan itu ditahan di rumah mereka ketika sedang leka menghisap dadah.

“Suspek lelaki juga didapati pernah ditahan sebelum ini dan menjalani hukuman di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CNC) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Isterinya pula mengaku mula belajar menghisap dadah daripada suaminya dan menjadikan rumah mereka sebagai ‘port’ sambil tiga anaknya berusia tujuh hingga dua tahun melihat perbuatan itu,” katanya.

Azizah berkata, empat lelaki lain berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan di kawasan Padang Siding, Kampung Rambai dan Padang Keria.

“Saringan ujian air kencing kesemua mereka didapati positif dadah jenis syabu. Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 6:14 PM