Kamaruddin  menunjukkan keadaan tebing yang runtuh di Kilometer 6 Jalan Rembang Panas-Kampung Sungai Dua.
Kamaruddin menunjukkan keadaan tebing yang runtuh di Kilometer 6 Jalan Rembang Panas-Kampung Sungai Dua.
Amran Yahya

Kuala Pilah: Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui Kilometer 6 Jalan Rembang Panas-Kampung Sungai Dua selepas berlaku runtuhan tebing akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Tinjauan mendapati berlaku mendapan tanah sepanjang kira-kira 15 meter serta runtuhan tebing yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rembang Panas, Kamaruddin Ahmad berkata, kejadian disedari apabila berlaku gangguan bekalan air pada pagi Ahad lalu.

Katanya, dia menghubungi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Kuala Pilah berhubung gangguan bekalan air dan dimaklumkan gangguan berpunca akibat tanah runtuh di laluan berkenaan menyebabkan paip air bawah tanah pecah.

Menurutnya, laluan berkenaan bukan jalan utama namun ia penting kerana menghubungkan beberapa kampung di sekitar kawasan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:33 AM