HAKISAN tanah jalan yang berlaku di Kilometer 9 Jalan Inas-Senaling.
HAKISAN tanah jalan yang berlaku di Kilometer 9 Jalan Inas-Senaling.
Amran Yahya

Kuala Pilah: Penduduk Kampung Inas, Johol, di sini, bimbang runtuhan tebing di Kilometer 9 Jalan Inas-Senaling sejak tiga bulan lalu belum diambil tindakan pihak bertanggungjawab.

Lebih membimbangkan lokasi kejadian runtuhan tebing itu di selekoh tajam yang pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu malam atau hujan lebat.

Penduduk, Anuar Mahmud, 47, berkata, kejadian itu berlaku sebaik kerja pemasangan besi penghadang jalan di tebing laluan itu selesai.

“Bagaimanapun, beberapa hari kemudian berlaku hakisan tanah sedikit demi sedikit hingga mengundang runtuhan besar tiga meter dari tebing.

“Kini hampir separuh lorong sebelah kiri jalan berkenaan runtuh sehingga pengguna terpaksa menggunakan satu lorong saja,” katanya.

Menurutnya, jalan berkenaan sentiasa sibuk terutama waktu pagi dan petang malah kadar aliran trafik lebih tinggi ketika cuti hujung minggu.

“Ibu bapa dan orang ramai menggunakan jalan ini untuk berulang-alik menghantar anak ke sekolah selain jalan ini alternatif untuk ke Rembau.

“Jika pihak berkaitan lewat mengambil tindakan, saya bimbang berlaku kemalangan yang mungkin menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.

TEBING runtuh yang mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan.
TEBING runtuh yang mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh ketika dihubungi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedia maklum kejadian itu dan kerja pembaikan akan dilaksanakan minggu hadapan.

“Buat masa ini sebagai langkah keselamatan, JKR meletakkan papan tanda amaran serta memasang pita keselamatan di kawasan berkenaan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan bertolak ansur ketika melalui jalan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:44 AM