ZAMRI ( tiga dari kanan) melihat tanah runtuh di Kampung Telok Sungai Durian, Mukim Bongor.
ZAMRI ( tiga dari kanan) melihat tanah runtuh di Kampung Telok Sungai Durian, Mukim Bongor.
Safuri Kamarudin


BALING: Hakisan tanah berhampiran pembetung meresahkan lebih 400 penduduk di Kampung Telok Sungai Durian, Mukim Bongor.

Malah, penduduk memohon kerajaan negeri segera membaiki jalan berkenaan yang semakin terhakis kerana dikhuatiri akan runtuh hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kegusaran mereka bertambah setiap kali hujan dan banjir kerana struktur tanah di kawasan itu teruk.

Penduduk, Mohd Sofian Nafizal, 32, berkata, sekiranya hujan berterusan, tanah itu akan runtuh menyebabkan semua kenderaan tidak dapat melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, hujan lebat berterusan menyebabkan air menerjah tebing hingga tanah sekitar pembentung turut terhakis.

“Semakin hari jalan semakin sempit kerana berlaku gelongsoran tanah.

“Penduduk bimbang jika memandu pada waktu malam dengan keadaan gelap di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, jalan itu laluan utama penduduk termasuk pelajar untuk ke pekan Baling, Kampung Rambong Batu Tujuh serta Pengkalan Hulu, Perak.

Penduduk, Hashim Wahab, 59, berkata, sebelum ini hanya tebing runtuh, tetapi kali ini tanah sekitar pembetung itu turut runtuh akibat hakisan tebing.

Ia berbahaya kepada pengguna jalan terutama pada waktu malam.

“Tebing semakin runtuh hingga tiga meter dan tidak mustahil akan berlaku runtuhan lebih teruk sekiranya hujan lebat.

“Air tidak dapat mengalir berterusan melalui pembetung yang runtuh dan berlaku hakisan tebing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Kerja Raya, Bekalan Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, beliau akan mengenal pasti infrastruktur yang rosak akibat kejadian itu.

“Saya akan menunggu laporan Pejabat Daerah Baling untuk menilai segala kerosakan seperti titi, surau, masjid dan jalan supaya dapat dipulih semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:30 AM