Rosman Shamsudin

Slim River: Lebih 2,000 penduduk terjejas selepas saluran paip bekalan air rosak dipercayai akibat kejadian hakisan tebing Sungai Trolak berhampiran Kilometer 3 di Jalan Kampung Kuala Slim - Slim River, dekat sini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.00 malam tadi, hakisan kawasan selekoh sungai itu runtuh kira-kira 20 meter menyebabkan saluran paip air di tepi jalan turut rosak.

Kawasan kampung yang terjejas membabitkan Kampung Kuala Slim dan Kampung Jaya, malah Kampung Alah Batu serta Kampung Sri Keledang yang terletak di Hulu Bernam, Selangor yang bersempadan negeri terbabit juga terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Zulfadli Zainal yang kali kedua turun padang meninjau kawasan berkenaan berkata kejadian terbabit dipercayai berlaku akibat hakisan air pada bahagian bawah benteng batu yang dibina pada selekoh sungai itu.

Katanya, sebelum ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membina benteng batu di selekoh sungai dan jalan berkenaan untuk mengelak berlaku rebakan atau runtuhan tanah di tepi tebing jalan terbabit.

ZULFADLI (kanan) menunjukkan kawasan hakisan tebing sungai yang menyebabkan saluran paip bekalan air rosak berhampiran Kilometer 3 Jalan Kampung Kuala Slim - Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
ZULFADLI (kanan) menunjukkan kawasan hakisan tebing sungai yang menyebabkan saluran paip bekalan air rosak berhampiran Kilometer 3 Jalan Kampung Kuala Slim - Slim River. FOTO Rosman Shamsudin

"Hujan lebat di kawasan setempat dan hulu menyebabkan aliran air sungai berkenaan menjadi deras dan menghakis tebing pada selekoh sungai yang turut mempunyai saluran paip bekalan air.

"Saluran paip bekalan air rosak menyebabkan beberapa buah kampung di Perak termasuk kampung di kawasan Selangor bersempadan negeri ini turut terjejas.

"Tinjauan di tempat kejadian mendapati kira-kira 20 meter tebing jalan berkenaan runtuh akibat kejadian terbabit," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Tinjauan juga mendapati pekerja dari Lembaga Air Perak (LAP) sedang bertungkus lumus memulakan kerja bagi membaiki kerosakan paip bekalan air di tepi jalan berkenaan.

Bekalan air di kawasan kampung yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya kira-kira jam 9.00 malam ini.

Zulfadli berkata bagi mengurangkan beban penduduk yang terjejas, pihak LAP menghantar empat lori tangki air bersih di kawasan kampung terbabit.

Katanya, ia adalah jalan utama yang menghubungkan Slim River- FELDA Gunung Besout dan setakat ini pengguna masih lagi boleh melalui jalan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 1:46 PM