ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Sungai Kap. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Sungai Kap. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


BUNYI kucing bergaduh mengejutkan wanita sebelum menyedari kehadiran ular tedung selar sepanjang empat meter masuk ke tempat letak kereta rumahnya di Sungai Kap, Nami, Padang Terap, hari ini.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap, Mohd Rizal Ali berkata, bimbang reptilia menyerangnya, suri rumah berusia 50-an itu bertindak menghubungi APM kira-kira 7 pagi bagi mendapatkan bantuan.

“Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati terdapat ular tedung selar seberat 14 kilogram bersembunyi di rak kasut ruang parkir di hadapan rumah berkenaan.

“Kami mengalami sedikit kesukaran menangkap ular itu berikutan keadaan parkir yang berselerak dan mengambil masa hampir 30 minit sebelum berjaya memerangkap haiwan itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Padang Terap, hari ini.

Justeru, Mohd Rizal menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan rumah bagi mengelak haiwan berbisa menjadikan kawasan kediaman sebagai sarang.

“Kawasan perumahan di kampung yang berdekatan kebun getah atau kelapa sawit lebih berisiko dimasuki ular yang mahu mencari makanan selain habitatnya yang suka berada di kawasan sejuk.

“Bulan ini sahaja, sebanyak 18 ekor ular ditangkap APM Padang Terap selepas menerima aduan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:56 PM