ANGGOTA Pertahanan Awam Malaysia Kuala Nerus menunjukkan sepasang ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Padang Air. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA Pertahanan Awam Malaysia Kuala Nerus menunjukkan sepasang ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Padang Air. FOTO IHSAN APM
Ahmad Rabiul Zulkifli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menangkap 7,075 ular sepanjang tahun lalu yang sebahagian besarnya terdiri daripada ular berbisa seperti tedung.

Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penduduk di negeri itu lebih prihatin dan waspada terhadap ancaman reptilia berbisa itu.

“Kemarau yang panjang menyebabkan ular keluar dari habitatnya untuk mencari tempat yang lebih sejuk.

“Biasanya ular berbisa akan ke kawasan penempatan penduduk dan masuk ke kediaman melalui laluan tikus dan saluran air buangan.

“Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup laluan berisiko dan terdedah kepada haiwan berbisa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Che Adam berkata, pada Selasa lalu pihaknya menangkap sepasang ular tedung selar yang hampir mematuk seorang warga emas di Kampung Padang Air, Kuala Terengganu.

“Kejadian itu berlaku pada 7.30 malam ketika Sawiyah Abd Kadir, 65, sedang memberi makan ternakannya di halaman rumahnya,” katanya.

Menurutnya, Sawiyah hampir dipatuk tetapi bernasib baik kerana menyedari kehadiran ular berbisa yang dipercayai sedang mengawan.

Katanya, anggota APM yang diketuai Prebet (PA) Muhammad Johari Mohd Noor bersama lima anggota lain ke tempat kejadian dan mengambil masa lebih sejam untuk menangkap dua ekor ular yang agresif itu.

Menurut Che Adam, pihaknya juga menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berhadapan dengan ular.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 3:06 PM