KEADAAN bot yang melanggar tunggul kayu di Sungai Deraka. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN bot yang melanggar tunggul kayu di Sungai Deraka. FOTO Ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KETERUJAAN dua nelayan mengangkat bubu di Sungai Deraka, berdekatan Kuala Sepetang, Taiping, hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas mereka terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaiki terlanggar objek dipercayai tunggul kayu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, aduan mengenai kejadian diterima daripada nelayan yang terselamat itu.

Beliau berkata, nelayan berusia 23 tahun itu memaklumkan rakannya dikenali sebagai Pian, 30, terjatuh ke sungai itu akibat bot dinaiki mereka hilang kawalan pada 10.30 pagi.

"Kedua-duanya terjatuh ke dalam sungai, namun seorang daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, sebaik menyelamatkan diri, nelayan terbabit tidak tahu di mana rakannya berada menyebabkan dia membuat laporan sebelum pasukan mencari mangsa digerakkan pada 1.30 tengah hari," katanya.

OPERASI SAR nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh akibat bot dinaiki terlanggar tunggul kayu di Sungai Deraka, berdekatan Kuala Sepetang. FOTO Ihsan bomba
OPERASI SAR nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh akibat bot dinaiki terlanggar tunggul kayu di Sungai Deraka, berdekatan Kuala Sepetang. FOTO Ihsan bomba

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi mencari mangsa menggunakan teknik carian di permukaan membabitkan jarak dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

Katanya, kekuatan 15 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan bagi operasi SAR setakat 8.20 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 9:24 PM