Muhammad Apendy Issahak and Zahratulhayat Mat Arif


HASRAT bapa meluangkan masa menangkap ikan bersama anak serta rakan anaknya ketika cuti persekolahan tidak kesampaian apabila ketiga-tiganya lemas dalam kejadian bot karam di perairan Kuala Sangga, Kuala Sepetang hari ini.

Dalam tragedi bot karam itu, mangsa, Beh Liang Tik, 49; anak lelakinya, Beh Chun Hui, 16; dan rakan anaknya, Low Eng Chuan, 19, ditemui selepas isteri mangsa membuat laporan polis susulan ketiga-tiga mangsa tidak pulang sejak keluar ke laut 10 pagi Selasa lalu.

Suasana sedih menyelubungi jeti Kuala Sepetang apabila isteri mangsa tidak dapat menahan sebak ketika melihat mayat anaknya yang juga mangsa terakhir ditemui.

Usaha untuk menemuramah ibu mangsa yang juga warga Filipina gagal kerana beliau terlalu sedih dengan kejadian menimpa keluarganya.

Rakan karib kepada Liang Tik, Low Tow Hoo, 65, berkata, dia sempat berbual dengan mangsa sebelum pergi ke laut bersama anak dan rakan anaknya.

“Beliau sebelum ini memang jarang ke laut untuk memancing dan tidak pernah membawa anaknya sekali.

“Selasa lalu, Liang Tik yang juga tukang masak memaklumkan dia tidak bekerja dan mahu mengajak anaknya yang masih cuti sekolah untuk menemaninya ke laut menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Bagan Baru, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, mayat Liang Tik dan Eng Chuan ditemui pada 8.25 pagi, manakala mayat Chun Hui ditemui pada 11.54 pagi.

“Kami percaya kejadian bot karam ini berlaku kerana angin kuat menyebabkan bot mereka terbalik dan karam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, seorang wanita membuat laporan polis semalam, mengatakan suami bersama anak lelakinya serta kawan anaknya tidak pulang selepas keluar ke laut menangkap ikan sejak Selasa lalu.

“Tiga mangsa itu keluar ke laut untuk menangkap ikan di kawasan perairan Kuala Sangga, dekat sini, dengan menaiki bot gentian.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan polis Kuala Sepetang serta dua bot nelayan awam dan agensi lain termasuk bomba sebelum mayat semua mangsa berjaya ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 5:58 PM
MAYAT mangsa, Beh Chun Hui dijumpai tidak jauh dari jeti Kuala Sepetang selepas bot dinaiki bersama bapa dan rakannya dipercayai karam ketika menangkap ikan. FOTO L Manimaran
MAYAT mangsa, Beh Chun Hui dijumpai tidak jauh dari jeti Kuala Sepetang selepas bot dinaiki bersama bapa dan rakannya dipercayai karam ketika menangkap ikan. FOTO L Manimaran