MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. FOTO Yazit Razali
MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. FOTO Yazit Razali
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap barisan kepemimpinan kerajaan negeri dapat maju ke hadapan seiring dengan negeri lain dengan berakhirnya kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis.

Mengakui dirinya turut kecewa dengan apa yang berlaku berhubung perlantikan Datuk Seri Azlan Man, Mohd Asri berharap Perlis akan berdaya saing meskipun bergelar negeri pembangkang dalam tempoh lima tahun akan datang

“Negeri lain di Malaysia, rakyat sudah buat perubahan (bertukar kerajaan) tapi Perlis negeri kecil tiada langsung perubahan.

“Sudahlah tiada perubahan, tapi bergelut pula dengan kemelut (krisis perlantikan Menteri Besar) yang tidak sepatutnya berlaku di negeri sebesar ini.

“Jika kita lihat, negeri lain sudah mengatur langkah ke hadapan dengan semangat baharu, tapi kita (Perlis) masih dengan semangat dan kemelut lama, dan dari situ kita sudah boleh lihat (perkara) tidak positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan bersama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Dewan Warisan di Kangar, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Azlan dan isteri Datin Seri Nor Aswana Omar dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.

Mohd Asri berkata, kemelut yang melanda Perlis, baru-baru ini menunjukkan bahawa perkembangan politik dalam negeri ini masih di takuk lama.

“Saya berharap barisan kepemimpinan negeri ini ambillah semangat yang baharu dari negeri lain.

“Meskipun Perlis nampak macam 'wayang' lama, tapi mereka (kerajaan negeri) boleh pakai skrin yang baru,” katanya sambil berseloroh.

NSTP sebelum ini melaporkan, krisis politik Perlis akhirnya selesai apabila sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar Perlis.

Perkara berkenaan disahkan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad yang mengakui semua mereka termasuk ADUN Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim menjunjung titah dan akur dengan keputusan Tuanku Syed Sirajuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 12:16 AM