SHUKRI (kiri) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri jika kemelut pelantikan Menteri Besar negeri itu tidak dapat diselesaikan dengan baik. -Foto fail
SHUKRI (kiri) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri jika kemelut pelantikan Menteri Besar negeri itu tidak dapat diselesaikan dengan baik. -Foto fail
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PAS Perlis sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya kemelut pelantikan Menteri Besar negeri itu tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kesediaan itu dinyatakan selepas mengambil kira tindak tanduk Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“PAS Perlis percaya bahawa kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik.

“Namun, sekiranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tetap dengan keputusannya, maka PAS Perlis bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemungkinan berlakunya PRN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shukri, PAS sentiasa menghormati amalan sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini dan berdiri teguh menyokong Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Kita teguh bersama Tuanku Raja Perlis yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negeri Perlis dalam keputusan baginda.

“Justeru, dalam mencari penyelesaian yang tepat dan adil kepada kemelut yang berlaku, PAS Perlis berharap semua pihak supaya tidak melatah atau bersikap terburu-buru dan beri kepercayaan kepada Tuanku Raja Perlis,” katanya.

PAS Perlis turut membidas Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau kerana membelakangi keputusan baginda dalam isu pelantikan jawatan nombor satu negeri itu.

“Sikap sebegini membuktikan bahawa beliau tidak menghormati institusi diraja dan Tuanku Raja Perlis,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilihat turut senada dengan pendirian PAS Perlis menerusi satu kenyataan di Facebooknya awal pagi tadi.

Katanya susulan krisis itu, Perlis seakan-seakan perlu mengadakan pilihan raya semula bagi memuaskan hati semua pihak.

“Boleh pilih wajah-wajah yang baru dan bermutu tinggi dari semua pihak yang bertanding. Mana-mana jaguh yang ada kualiti tapi telah ‘terkalah’ di tempat lain, mungkin boleh datang bertanding di Perlis.

“Ada 15 kerusi untuk direbut. Maka, Perlis boleh dapat calon-calon terbaik. Di samping, isu-isu 1MDB dan yang sewaktu dengannya mungkin boleh menjadi panduan rakyat Perlis untuk membuat penilaian semula,” katanya yang kini sedang berada di Kudat, Sabah.

Semalam Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua tanpa kehadiran sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang memboikot majlis tersebut.

Mereka sebaliknya muncul bersama Shahidan dalam sidang media di Kuala Lumpur bagi membantah pelantikan Azlan.

Berikutan itu Raja Perlis menzahirkan kemurkaannya dengan tindakan sembilan ADUN berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 12:33 PM