PEMANGKU Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melambai kearah jurugambar setelah keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. FOTO Azhar Ramli
PEMANGKU Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melambai kearah jurugambar setelah keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


KRISIS pelantikan Menteri Besar Perlis memasuki fasa baru selepas Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, tengah hari tadi.

Turut bersama Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Mereka tiba bersama menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Ahmad Zahid dan Hishammuddin dilihat berada di dalam Bilik Biru Istana Arau sebelum masuk menghadap Raja Perlis yang berangkat tiba sekitar jam 11.55 pagi.

Difahamkan, kedua pemimpin tertinggi UMNO itu menghadap Tuanku Syed Sirajuddin untuk membincangkan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis yang hari ini sudah memasuki hari ke-13.

Mereka kemudian meninggalkan Istana Arau pada jam 1.15 tengahari, selepas meluangkan masa lebih sejam menghadap Raja Perlis.

Ahmad Zahid ketika ditemui, tidak menjawab soalan yang ditanya oleh pemberita sebaliknya beliau dan Hishammuddin melambai tangan sambil mengucapkan terima kasih secara berulang kali.

Sementara itu, menurut sumber Menteri Besar Perlis sebelum ini, Datuk Seri Azlan Man akan dilantik semula sebagai Menteri Besar, bagaimanapun sehingga kini maklumat berkenaan belum dapat disahkan.

Ini berikutan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Azam Rashid turut dilihat berada di istana dan ini menguatkan lagi dakwaan Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar bakal memimpin Kerajaan Negeri Perlis pada penggal ini.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:55 PM