Nor Azam (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka terhadap UMNO Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Nor Azam (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka terhadap UMNO Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Pakatan Harapan, Nor Azam Karap hari ini memfailkan laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan sembilan ADUN BN kerana menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam isu perlantikan Menteri Besar negeri itu semalam.

Nor Azam mahu berharap pihak polis segera menyiasat Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau kerana mempertikaikan keputusan Raja Perlis secara terbuka melalui media.

"Saya terpanggil untuk membuat laporan polis kerana sebelum ini belum pernah ada individu yang berani mencabar keputusan Raja Perlis melalui media.

"Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang seolah menghina Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam sidang media yang dihadiri oleh ramai wartawan.

"Jika kita lihat, dia seakan tidak mahu mengambil kisah mengenai perkataan 'murka' oleh Tuanku sewaktu ditanyakan oleh wartawan, malah mempersoalkan kredibiliti perkataan 'murka' itu," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hussein, Kuala Perlis.

Nor Azam berkata dia juga memfailkan laporan polis ke atas seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai ‘Nazrin Ayen’ kerana didakwa memuat naik status yang turut menghina Raja Perlis.

"Kedua individu berkenaan dilihat seolah menghina Tuanku Raja Perlis berhubung tindakan mereka yang mempertikaikan perlantikan Menteri Besar di negeri ini semalam," ujarnya.

Nor Azam berkata, pihaknya kesal apabila tokoh politik negara ini seakan tidak mengetahui Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri ini sehingga berani mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja melalui media.

"Tuanku sudah menggunakan haknya sebagai raja negeri ini untuk memilih Menteri Besar di negerinya dan sebagai rakyat yang taat sepatutnya kita menghormati keputusan itu dan bukannya menghina institusi diraja di negeri ini sehingga boleh menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan terbabit dan siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pihaknya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis, bermula apabila Shahidan, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Azlan Man.

Bagaimanapun, pihak Istana Arau menolak pencalonan Ismail kerana tidak mahu Menteri Besar menjadi boneka kepada pihak luar.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, yang turut dihadiri oleh sembilan ADUN BN itu, Shahidan mempertikaikan keputusan istana melantik semula Azlan sedangkan dia tidak mendapat sokongan majoriti ADUN BN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:19 PM