Tengku Razaleigh semasa bercakap kepada media di lobi Parlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Tengku Razaleigh semasa bercakap kepada media di lobi Parlimen. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hidayatul Akmal Ahmad

PELAWAAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap 40 pemimpin UMNO untuk menyertai parti itu tidak ubah seperti ‘ular lidi mengundang ular sawa ke sarang’.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkembangan itu perlu ditangani oleh pemimpin UMNO secara berhati-hati.

“Ini cerita ular sawa dijemput masuk sarang ular lidi. Berhati-hati semua, ada racun,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada beliau turut mendapat undangan menyertai BERSATU, Ahli Parlimen Gua Musang berkata:

“Tidak. Saya tiada. Saya ‘racun’ kuat, tidak berapa nak terima saya barangkali.”.

Sekiranya berlaku ‘penghijrahan beramai-ramai’ menyertai BERSATU, Tengku Razaleigh tetap yakin ia bukan menjadi pengakhiran parti itu.

“UMNO tidak akan berkubur, kalau ada pun cuma empat atau lima orang yang suka melompat,” katanya sambil menambah hanya membaca laporan itu di media dan belum menemui Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, mendakwa 40 Ahli Parlimen UMNO akan melompat parti menyertai BERSATU tidak lama lagi.

Tengku Razaleigh berkata, ahli akar umbi UMNO berada di segenap pelusuk negara ini, dari kampung ke premis perniagaan hingga pejabat perniagaan.

“Sejarah 70 tahun UMNO bukan sesuatu yang mudah untuk dihapuskan,” katanya.

Ditanya sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu bercuti berikutan sedang berdepan kes mahkamah, beliau berkata ia adalah hak Presiden UMNO terbabit.

“Pandangan itu dikeluarkan sesetengah pihak berdasarkan apa yang pernah dilakukan iaitu pemimpin yang terbabit dengan kes mahkamah selalunya berundur ketika kes berlangsung.

“Itu dia punya hak. Saya nasihatkan kalau nak gerakkan parti semula, tidak ada kena mengena dengan soal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 10:46 PM